Peminjam : Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPK Akibat Penularan Covid-19

Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPK Akibat Penularan Covid-19:

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK akibat penularan COVID-19?

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK akibat penularan Covid-19 bermaksud penangguhan untuk membayar balik pinjaman PTPK dalam tempoh yang dinyatakan.

  1. Siapakah yang layak diberikan penangguhan bayaran balik COVID-19 ini?

Semua peminjam di bawah Skim Pinjaman Lepasan Sekolah dan Skim Pinjaman Pekerja akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman COVID-19 ini.

  1. Bagaimanakah untuk memohon penangguhan bayaran balik COVID-19?

Peminjam tidak perlu membuat permohonan. Penangguhan diberikan secara automatik.

  1. Bilakah penangguhan bayaran balik COVID-19 berkuat kuasa?

Penangguhan bayaran balik akan berkuat kuasa mulai 1 April hingga 30 September 2020.

  1. Apakah manfaat yang akan diperolehi oleh peminjam?

Manfaat yang akan diperolehi oleh peminjam adalah peminjam diberikan penangguhan untuk membayar balik pinjaman dan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik Covid-19 berkuat kuasa.

  1. Bagaimanakah dengan pinjaman oleh peminjam yang telah diluluskan penangguhan bayaran balik sebelum tarikh penangguhan bayaran balik akibat Covid-19?

Peminjam yang telah diluluskan penangguhan bayaran balik sebelum 1 April 2020 adalah secara automatik diberikan penangguhan bayaran balik sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik Covid-19 ini berkuatkuasa.

  1. Adakah peminjam layak mendapat Insentif Diskaun 10% bayaran balik sepanjang tempoh penangguhan?

Insentif Diskaun 10% TIDAK LAYAK diberikan ke atas bayaran yang dilakukan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik di bawah Covid-19 kepada peminjam yang menerima tawaran penangguhan ini.

  1. Apakah implikasi kepada peminjam yang menyertai Promosi Bayaran Balik “Bayar & Menang” sehingga 31 Mac 2020?

Tiada implikasi kepada peminjam di bawah Program ini kerana kelayakan peminjam adalah tertakluk kepada syarat penyertaan iaitu membuat bayaran balik minimum RM1,000.00 dalam tempoh promosi sehingga 31 Mac 2020.

  1. Adakah pinjaman latihan kemahiran dilindungi insurans semasa tempoh penangguhan?

Ya, pinjaman latihan kemahiran dilindungi insurans semasa tempoh penangguhan.

  1. Adakah saya perlu membuat pembatalan potongan gaji sedia ada?

Tidak perlu. Potongan gaji sedia ada juga ditangguhkan selaras dengan penangguhan bayaran balik yang diberikan kepada semua peminjam.

Walau bagaimanapun, bagi peminjam yang ingin meneruskan potongan gaji, permohonan hendaklah dibuat melalui emel PTPK di alamat covidcarebb@ptpk.gov.my mulai 1 April hingga 15 Ogos 2020.

  1. Bilakah penangguhan potongan gaji akan dilaksanakan? Adakah bermula April 2020 atau Mei 2020?

Penangguhan potongan gaji akan berkuat kuasa mulai tarikh yang sama. Walau bagaimanapun, tiada pemulangan (refund) akan dibuat ke atas bayaran balik yang telah diterima.

Sehubungan itu, potongan gaji akan dihentikan sepenuhnya pada bulan Mei hingga September 2020 kecuali bagi peminjam yang bersetuju meneruskan potongan dengan membuat permohonan di PTPK selewat-lewatnya pada 15 Ogos 2020.

Walau bagaimanapun, peminjam digalakkan untuk meneruskan potongan gaji bagi pembayaran balik pinjaman sekiranya keadaan kewangan mengizinkan bagi menikmati Insentif Diskaun 10% tertakluk kepada syarat yang sedang berkuatkuasa.

  1. Adakah peminjam perlu membuat permohonan baharu potongan gaji selepas tamat tempoh penangguhan?

Tidak perlu. Semua potongan gaji akan diteruskan sepertimana sebelum penangguhan bayaran balik Covid-19.

  1. Adakah penangguhan bayaran balik ini akan diteruskan selepas 30 September 2020 sekiranya wabak Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya?

Sebarang keputusan berhubung inisiatif penangguhan bayaran balik akan diteliti dari semasa ke semasa.

  1. Adakah tempoh bayaran balik pinjaman saya akan dilanjutkan kesan dari penangguhan ini?

Ya. Tempoh bayaran balik akan dilanjutkan melalui penstrukturan semula pinjaman yang dibuat secara automatik kepada semua peminjam yang tidak mempunyai tunggakan sebelum penangguhan bayaran balik Covid-19 diberikan.

  1. Bagaimanakah pula penstrukturan semula pinjaman ke atas peminjam yang telah mempunyai tunggakan sebelum penangguhan bayaran balik Covid-19?

Peminjam yang telah mempunyai tunggakan sebelum penangguhan ini dikehendaki memohon dengan PTPK untuk penstrukturan semula pinjaman.

  1. Adakah permohonan penstrukturan semula dan penjadualan semula boleh dilakukan dalam tempoh penangguhan ini?

Tidak boleh. Semua permohonan tersebut ditangguhkan sehingga 30 September 2020.

  1. Adakah kos pentadbiran dikenakan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik tersebut?

Tidak. Kos pentadbiran tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik sepertimana penangguhan sedia ada.

Walau bagaimanapun, tempoh bayaran balik peminjam akan dikedepankan/ dilanjutkan mengikut tempoh penangguhan bayaran balik akibat Covid-19 (6 bulan).

  1. Adakah peminjam boleh membuat bayaran balik sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik tersebut?

Boleh. Peminjam boleh membuat bayaran balik sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik tersebut melalui saluran bayaran balik yang disediakan. PTPK masih menerima bayaran tersebut dan peminjam digalakkan unuk sentiasa meyemak Penyata Atas Talian bagi sebarang kemas kini bayaran semasa.

  1. Bagaimanakan pelaksanaan penerimaan bayaran balik pinjaman sepanjang tempoh penangguhan ini?

Dalam tempoh pelaksanaan ini, penerimaan bayaran balik pinjaman akan diselaraskan kepada dua (2) kategori iaitu:

  1. Jika akaun pinjaman mempunyai tunggakan sebelum April 2020, bayaran yang diterima akan dipecahkan mengikut pinjaman pokok dan caj tadbir yang telah dibilkan; dan
  1. Jika akaun pinjaman tiada tunggakan, bayaran yang diterima pada April hingga September 2020 akan dikira sebagai bayaran balik untuk pokok pinjaman.
  1. Adakah PTPK beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Sepanjang tempoh PKP, Ibu pejabat dan semua pejabat wilayah PTPK ditutup untuk urusan orang ramai.

Semua urusan berkaitan PTPK seperti permohonan pinjaman latihan kemahiran dan semakan penyata pinjaman boleh dilakukan secara atas talian melalui pautan/ portal PTPK.

Walau bagaimanapun, semua warga PTPK masih bekerja dari rumah.

  1. Bagaimanakah pelanggan boleh berkomunikasi dengan PTPK dalam tempoh PKP?

Pelanggan masih boleh berkomunikasi dengan PTPK dalam tempoh PKP dengan cara mengemukakan pertanyaan ke alamat emel covidcarebb@ptpk.gov.my .  

Pegawai PTPK akan memberikan maklum balas dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Last modified on Thursday, 02 April 2020 11:15