Print this page

Ucapan oleh YB Menteri KSM di Majlis Perhimpunan Bulanan Khas & Semarak Worldskills Competition Sao Paulo 2015

UCAPAN OLEH

YB DATO’ SRI RICHARD RIOT ANAK JAEM (MENTERI SUMBER MANUSIA)

 

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KHAS & SEMARAK WORLDSKILLS COMPETITION SAO PAULO 2015 KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

DEWAN SERBAGUNA KSM

31 JULAI 2015

9.00 PAGI



Terima kasih saudara/i pengacara majlis,

 

YB Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib

Timbalan Menteri Sumber Manusia

 

YBhg. Datuk Seri Hj. Saripuddin bin Hj. Kasim

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia

 

YBhg. Dato’ Mohd Sahar bin Darusman

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa)

 

YBrs. Dr. Mohd. Gazali bin Abas

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi)

 

Ketua-ketua Jabatan dan Agensi

 

Rakan-rakan media

 

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan, warga kerja KSM yang saya kasihi sekalian

 

 

Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia

 

 

Ucapan Aluan

 

  1. Pertama sekali, sukacita saya merakamkan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada semua warga Kementerian Sumber Manusia. Saya juga bersyukur kerana kita dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemeriahan dan keriangan dalam suasana yang aman dan sentosa.  Marilah kita sama-sama menghayati bahawa semangat Hari Raya Aidilfitri sebagai wadah untuk mengukuhkan semangat persaudaraan dan memperbaharui persahabatan di kalangan kita.

 

  1. Dalam pada itu, bagi pihak seluruh warga KSM, saya mengambil kesempatan ini merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga arwah Puan Wan Abqariah bte Wan Abdullah, Pegawai Latihan Vokasional Gred J42 yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Manusia, yang meningggal dunia pada 15 Julai 2015 akibat kemalangan jalan raya semasa penjalanan pulang ke kampung. Semoga roh beliau dirahmati Tuhan. (Bertafakur sejenak)

 

 

Warga KSM yang dikasihi sekalian,

 

  1. Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Sumber Manusia akan diadakan di Maran, Pahang pada 1 Ogos 2015 yang mana tetamu kerhormat kita ialah Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Alhaj ibni Sultan Ahmad Shah, Tengku Mahkota Pahang. Semua warga KSM dijemput hadir bagi memeriahkan majlis. Selain itu, Kelab Kebajikan dan Sukan KSM juga mengadakan Jamuan Hari Raya selepas Perhimpunan Bulanan pagi ini.

 

  1. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YB Timbalan Menteri, YBhg. KSU dan seluruh warga KSM atas kerjasama dalam menjayakan pelbagai program seperti sesi perbahasan Parlimen, Sambutan Hari Gawai, Majlis Berbuka Puasa KSM dan pelbagai program termasuk sambutan Hari Raya hari ini dan esok di Maran. Saya amat berharap jalinan kerjasama dan semangat muafakat ini dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi dalam program-program akan datang.

Intipati Ucapan YAB PM semasa Perhimpunan Bulanan JPM

 

Warga KSM yang dikasihi sekalian,

 

  1. Jabatan Perdana Menteri mengadakan perhimpunan bulanan setiap bulan, yang mana YAB Perdana Menteri sendiri memberi amanat dan panduan penting kepada penjawat awam. Memandangkan amanat YAB Perdana Menteri dalam perhimpunan bulanan JPM tidak semua sampai kepada tuan-tuan dan puan-puan, sukacita saya sebagai Menteri Sumber Manusia berkongsi amanat itu dalam setiap perhimpunan bulanan KSM.

 

  1. Semasa Perhimpunan Bulanan JPM pada bulan Jun yang lalu, YAB Perdana Menteri menekankan bahawa sebagai pegawai dan anggota pentadbiran Kerajaan, kejayaan pelaksanaan RMKe-11 mesti dijadikan fokus utama kita. Beliau turut menghuraikan falsafah dan objektif RMKe-11 dalam 5 prinsip berikut:

 

  • (i) prinsip pertama: mengamalkan dan melaksanakan dasar-dasar yang membawa kepada kadar pertumbuhan yang tinggi ataupun sederhana. Perkara ini amat penting kerana jika tiada kadar pertumbuhan, maka negara akan menghadapi banyak kesukaran. Kita akan kekurangan hasil, peluang pekerjaan, pelaburan dan amat sukar untuk kita mengagihkan kekayaan negara supaya lebih seimbang dari segi kumpulan etnik dan wilayah;

 

  • (ii) prinsip kedua: mengutamakan people’s economy atau ekonomi keperluan rakyat. Sebagai Kerajaan yang amat prihatin dalam aspek ekonomi keperluan rakyat, kita akan laksanakan program-program pengagihan kekayaan dengan lebih baik lagi. Ini termasuklah menaikkan pendapatan isi rumah Kumpulan B40 yang berpendapatan 40% ke bawah,  memberi lebih banyak peluang kemahiran dan pendidikan yang lebih tinggi, menangani kos sara hidup dan lain-lain;

 

  • (iii) prinsip ketiga: ekonomi negara berteraskan perniagaan. Badan-badan korporat seperti sektor swasta atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sebagainya perlu menjadi penggerak ekonomi (the driver of economy). Oleh itu, kita mesti membantu sektor swasta bergerak lebih pantas, lebih maju dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan mereka menambah pelaburan dan memudahkan mereka membuat keputusan peniagaan.  Kita tidak wajar menjadi penghalang, meletakkan rintangan tetapi membantu untuk mewujudkan satu sistem termasuk sistem penyampaian Kerajaan yang mesra perniagaan kerana jika perniagaan maju, pelaburan dan peluang pekerjaan akan bertambah serta membantu penjanaan kekayaan;

 

 

  • (iv) prinsip keempat: mengamalkan dasar-dasar yang mesra persekitaran, alam sekitar dan pembangunan bestari. Pada tahun lepas, banjir besar telah melanda negara kita dan ini merupakan satu pengajaran kepada kita untuk kita mengambil serius akan kepentingan memelihara alam sekitar; dan

 

  • (v) prinsip kelima: mengamalkan dasar-dasar yang membawa pengukuhan, perpaduan antara kaum, agama dan sebagainya. Semua perkara ini berpaksi kepada kefahaman, falsafah kesederhanaan dan berteraskan prinsip-prinsip 1Malaysia.

 

  1. YAB Perdana Menteri juga berharap supaya sistem penyampaian perkhidmatan awam yang telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan terus dipertingkatkan ke tahap yang lebih cemerlang.

 

  1. Laporan terbaharu the World Economic Forum (WEF) yang dikeluarkan pada 14 Julai 2015 meletakkan Malaysia di kedudukan kelapan Kerajaan paling cekap di peringkat global iaitu di kalangan 144 buah negara yang dinilai (Malaysia has been ranked the eighth most efficient government globally in the Global Competitive Report 2014-2015). Di kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua di belakang Singapura, di mana negara tersebut berada di kedudukan kedua secara keseluruhan.  Qatar berada di tempat pertama dan Finland di tempat ketiga secara keseluruhan.  Negara-negara Asia lain seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan China tidak tergolong dalam kumpulan sepuluh terbaik (top 10)  dari segi kecekapan kerajaan.  Ini adalah pencapaian yang sangat baik dan membanggakan, yang mana kita perlu pertahankan malahan ditambah baik lagi pada masa hadapan.

 

 

 

 

 

Hadirin sekalian,

 

Peranan KSM dalam RMKe-11

 

  1. YAB Perdana Menteri pada 21 Mei semasa membentangkan Dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) di Dewan Rakyat, antara lainnya menyebut bahawa RMKe-11 merupakan lonjakan ataupun pusingan terakhir sebelum kita memasuki gelanggang sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi ataupun high income advance economy menjelang tahun 2020.

 

  1. Sepertimana yang saya sebutkan sebentar tadi, Kerajaan amat menitikberatkan pembangunan ekonomi berasaskan rakyat. Dalam hal ini, kita sebagai sebuah kementerian amat berterima kasih atas kepercayaan Kerajaan memberi tanggungjawab yang cukup besar kepada kepada kita untuk melaksanakan strategi-strategi utama pembangunan people’s economy dalam RMKe-11.

 

  1. Secara khusus, KSM memainkan peranan signifikan dalam 1 daripada 6 Teras Strategik RMKe-11 iaitu Teras Meningkatkan Pembangunan Modal Insan Untuk Negara Maju. Melalui teras ini, pendekatan program-program yang akan kita laksanakan tertumpu kepada 3 daripada 6 pemacu perubahan (game changers) iaitu meningkatkan potensi produktiviti, mengupayakan TVET yang diterajui industri dan meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat kelas menengah.

 

  1. Antara intipati utama Kerajaan dalam merangka RMKe-11 adalah untuk menghasilkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan memiliki sikap positif untuk terus maju dalam ekonomi global.  Dalam konteks ini, KSM berperanan sebagai antara agensi peneraju dalam 3 bidang fokus utama iaitu:

 

 

  • pertama; menambah baik kecekapan pasaran buruh untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi. KSM akan menerajui inisiatif-inisiatif seperti menggalakkan pelaksanaan Sistem Gaji Dikaitkan Produktiviti (PLWS), membangunkan Indeks Gaji Nasional, mempertingkatkan program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPL), meminda undang-undang buruh, menambah baik pengurusan pekeja asing dan lain-lain.  Menjelang 2020, kadar pertumbuhan produktiviti diunjurkan meningkat pada kadar purata 3.7% setahun berbanding 2.3% dalam RMKe-10, peratus sumbangan pampasan pekerja (compensation of employees) kepada KDNK meningkat kepada 40% berbanding 33.6% pada tahun 2013 dan gaji penengah bulanan meningkat kepada RM2,500 berbanding RM1,575 pada tahun 2014.  Secara ringkasnya, para pekerja akan menerima gaji yang lebih tinggi kerana peningkatan produktiviti dan pengagihan pendapatan yang lebih baik;

 

  • kedua; mentransformasi TVET untuk memenuhi permintaan industri. KSM akan terlibat dalam mewujudkan satu sistem akreditasi tunggal, mengharmonikan pelbagai sistem penarafan, mengarusperdana Sistem Latihan Dual Nasional, menyediakan pembiayaan berasaskan permintaan industri dan penarafan institusi,  membangunkan tenaga pengajar yang berkualiti, meningkatkan penjenamaan untuk menarik minat terhadap TVET, dan sebagainya.  Kerajaan menjangka inisiatif-inisiatif ini dapat meningkatkan bilangan lepasan SPM ke TVET kepada 225 ribu orang menjelang tahun 2020 berbanding 164 ribu orang pada tahun 2013. Ini bagi memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi yang mana 60% daripada 1.5 juta pekerjaan yang diwujudkan dalam RMKe-11 memerlukan kemahiran TVET; dan

 

  • ketiga; memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat untuk peningkatan kemahiran. Dalam hal ini, KSM akan memperluas liputan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 merangkumi lebih banyak sektor ekonomi yang dijangka memberi faedah kepada 2.8 juta pekerja berbanding 1.77 juta pekerja pada tahun 2014.  KSM juga akan memperluas program RPL dan memperkenalkan Skim Latihan Masa Hadapan (FWT).  Inisiatif-inisiatif ini akan membolehkan rakyat Malaysia mendapat latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran secara berterusan untuk memenuhi perubahan permintaan pasaran buruh.

 

  1. RMKe-11 akan membantu negara kita supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang berikutan perubahan landskap global dan politik yang pantas.  Dalam hal ini, Kerajaan meletakkan matlamat memenuhi pelbagai keperluan rakyat dan negara secara menyeluruh sebagai paksi utama dalam pelaksanaan program-program RMKe-11.

 

  1. Saya menyeru kepada seluruh warga KSM sekalian supaya kita bersama-sama menghayati dan merealisasikan RMKe-11. Setiap seorang daripada kita mempunyai peranan dalam suatu aliran proses kerja bagi mencapai outcome yang ditetapkan.  Dalam kita menggalas tanggungjawab besar RMKe-11 ini, kita mesti menyematkan dalam hati sanubari kita bahawa hasil dan manfaat RMKe-11 ini bukannya untuk Kerajaan menempa nama, tetapi ia adalah dinikmati untuk anak-anak dan keluarga kita, rakan-rakan dan saudara mara kita,  pendek kata untuk seluruh rakyat Malaysia.  Apabila kita mempunyai mindset sebegini, kita akan berusaha dan bekerja dengan lebih gigih lagi.

 

  1. Berhubung dengan tranformasi pemikiran atau mindset change, suka saya mengingatkan semua warga KSM yang menjadi peminjam supaya menunaikan tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman PerbadananTabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).  Langkah ini adalah amat penting supaya pinjaman pelajaran dapat diberikan kepada orang lain yang memerlukan demi meningkatkan dan mengembangkan pendidikan dan latihan kemahiran di negara kita.

 

 

Penyertaan Kontingen Malaysia Dalam World Skills Competition

 

Hadirin sekalian,

 

  1. Akhir sekali, tetapi amat penting untuk kita semua ialah berkenaan penyertaan Kontingen Malaysia dalam World Skills Competition (WSC) 2015. Sukacita saya mengucapkan “Selamat Maju Jaya” kepada Kontinjen Malaysia yang akan diketuai oleh YB Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib dalam WSC 2015 yang akan diadakan di Sau Paulo, Brazil mulai 5 hingga 18 Ogos ini.  Saya yakin berdasarkan pencapaian peserta-peserta negara yang cemerlang dalam ASEAN Skills Competition (ASC) 2014 yang mana kita berjaya memperoleh 9 pingat emas, 4 pingat perak, 4 pingat gangsa dan 17 medallion for excellence, Kontinjen Malaysia berpotensi tinggi untuk meraih pingat di WSC 2015.  Sasaran kita ialah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat emas.

 

  1. Penyertaan Malaysia dalam WSC 2015 ini amat bermakna kerana ia akan menyemarakkan lagi usaha kita untuk memartabatkan TVET sebagai suatu wadah memperoleh kemahiran yang bernilai untuk dimiliki dan kerjaya yang menjamin masa hadapan. Ia juga selaras dengan agenda meningkatkan tenaga mahir kepada 35% daripada jumlah tenaga kerja menjelang tahun 2020.  Oleh itu, marilah kita bersama-sama mendoakan kejayaan Kontinjen Malaysia dalam World skills Competition 2015.

 

  1. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” dan “Selamat Berjaya Kontingen Malaysia Dalam World Skills Competition”. Go for Gold!

 

Sekian, Terima kasih.

 

 

 

 

Kementerian Sumber Manusia

31 Julai 2015

Last modified on Tuesday, 25 September 2018 12:26