|
CYBERJAYA, 5 November 2024 – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mencipta sejarah cemerlang dengan menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2024 bagi kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Anugerah berprestij ini disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada Encik Mohd Fathullah bin Mustafa, Pengarah Kanan PTPK, dalam sebuah majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.
Pengiktirafan ini jelas membuktikan komitmen PTPK bukan sahaja sebagai pembiaya utama latihan kemahiran negara yang cemerlang dalam pengurusan dana patuh syariah tetapi juga sebagai organisasi yang komited dalam melaksanakan kewajipan zakat Korporat bagi pembangunan sosioekonomi umat Islam di Malaysia. Dengan penganugerahan ini, PTPK bertekad untuk terus mengukuhkan peranannya dalam meningkatkan ekosistem TVET bagi membangunkan bakat tersedia masa hadapan sambil berbakti kepada masyarakat melalui inisiatif-inisiatif zakat yang memberi impak jangka panjang.
Penghargaan ini memacu PTPK untuk memperhebatkan lagi inisiatif zakat korporat untuk melaksanakan lebih banyak program dan memperluaskan impak zakat kepada masyarakat. Sebagai agensi yang berdedikasi dalam pembiayaan pendidikan dan pembangunan kemahiran, PTPK melihat zakat bukan sahaja sebagai kewajipan tetapi juga sebagai tanggungjawab sosial yang diterjemahkan melalui tindakan berkesan. PTPK berharap pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak agensi untuk memperkasakan ekosistem zakat di Malaysia. Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan budaya zakat dalam sektor korporat tetapi juga mengangkat nama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui kejayaan yang dikecapi PTPK ini.